Simposium Fiqh Perubatan 2012

KUANTAN, 17 Mac: Dengan kerjasama I-Medik Pahang, ISMA dan Kolej Universiti Shahputra,  Simposium Fiqh Perubatan 2012 yang bertemakan “Menjana Tamadun Perubatan Islam” telah berjaya dianjurkan di Dewan Auditorium, Kolej Universiti Shahputra, bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Tujuan utama simposium ini diadakan adalah untuk membincangkan persoalan dan isu-isu penting yang sangat relevan untuk diteliti oleh mereka yang berkhidmat menjaga kebajikan dan kesihatan para pesakit dan para pelajar dari jurusan yang berkaitan.

Alhamdulillah, program ini mendapat tempat di hati masyarakat dengan kehadiran 450 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UIAM, pelajar Shahputra, pelajar Kolej Kejururawatan Kuantan, kakitangan Kuantan Medical Centre, Kuantan Specialist Hospital, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan klinik-klinik kerajaan serta swasta di seluruh Kuantan.
Program yang dipengerusikan oleh Syed Abu Zulfadhli, dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran daripada Abdul Hayyul Ihsan Ahmad Suhaimi dan disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Program, Muhd. Akmal bin Mohamad. Simposium Fiqh Perubatan 2012 telah dirasmikan oleh Naib Canselor Kolej Universiti Shahputra, Prof. Dr. Abd. Majid bin Mohd Isa.  

Acara diteruskan dengan Sidang Pleno 1: Maqasid Syariah dalam Fiqh Perubatan oleh penceramah Ustaz Rushdan b. Abd Halim, YDP ISMA Pahang, dan  Mohd Firdaus selaku moderator. Sidang ini membincangkan hukum hakam Islam yang sesuai untuk setiap kes baru dalam bidang perubatan berlandaskan hukum Syari’ah bagi mencapai kemaslahatan (keperluan) kita. Sidang diakhiri dengan sesi soal jawab bersama peserta, sebelum minum pagi pada pada pukul 10 pagi. Acara diteruskan dengan Sidang Pleno 2: Memahami Konsep Rukhsah dan Azimah pada jam 10.20 pagi, yang melibatkan Ustaz Zulkefli bin Embong daripada Maahad tahfiz Al-Quran Tengku Ampuan Afzan, Pekan sebagai penceramah, dan Sarah Sharipudin sebagai moderator. Sidang ini membincangkan beberapa masalah semasa berkaitan rukhsah, selain memberi panduan cara berwuduk dan bertayammum bagi pesakit. Seterusnya, Sidang Pleno 3: Etika Pengamal Perubatan Muslim berlangsung pada jam 11.30 pagi, diacarakan oleh Mohd Hazim bersama Prof.Dr. Azmi bin Md.Nor daripada Bahagian Pembedahan, Kulliyyah Perubatan UIAM. Perbincangan mengenai sifat dan akhlak pengamal perubatan dalam mengendali pesakit ini memberi motivasi kepada peserta dalam menjalinkan hubungan mereka dan pesakit. 

Majlis berhenti rehat pada jam 12.40 tengahhari dan bersambung setelah selesai menunaikan solat Zuhur dengan Sidang Pleno 4: Solat bagi Pesakit oleh Ustaz Ahmad Zaharuddin bersama moderator Nurul Hasyimah. Pada jam 3 petang, slot khas iaitu Perbincangan Kes Permasalahan Ibadah Pesakit yang menggabungkan tiga ahli panel Ustaz Zulkefli, Ustaz Ahmad Zaharuddin dan Ustaz Rushdan bersama moderator Dr. Mohd Nor. Subhanallah, perbincangan yang mantap daripada ahli-ahli panel yang berpengalaman dan berpengetahuan luas dalam bidang agama telah membawa kepada solusi yang berkesan untuk masa depan pesakit di hospital. Setiap yang bermula pasti ada akhirnya, begitu juga dengan program Simposium Fiqh Perubatan 2012 ini. Pada jam 4.30 petang, majlis penutup berlangsung dengan ucapan penutup oleh Dr. Mohd Nasiruddin Johari, Pengerusi I-Medik Pahang. Para peserta bersurai pada jam 4.45 petang. Diharapkan para peserta mendapat input yang berfaedah dari program ini serta dapat mengamalkannya dengan baik. Semoga program seperti ini dapat diadakan lagi pada masa hadapan, InsyaAllah. 

Wartawan: Shadia Sheikh Mohamed.

No comments:

Post a Comment